Tajdid Niat

Tulislah perkara yang baik-baik, I’Allah orang lain akan dapat manfaatnya.

Friday, July 10, 2015

Cerpen :Tarbiyah di Malaysian Airlines

Sara terduduk dikerusi menunggu. Panahan khuatir menginjak jemala. Bibirnya tidak berhenti melantun Istighfar. Dia masih mengingati pesanan yang seringkali dikirim oleh murabbinya tatkala dia dihamparkan jalan musibah.
Nabi s.a.w yang bermaksud : "Barang siapa memperbanyak Istighfar maka Allah akan membebaskannya dari kedukaan, dan memberinya jalan keluar bagi kesempitannya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak diduga-duga" (Hadis Riwayat Abu Dawud).
Masih jelas di ingatannya serta terngiang-ngiang telinganya akan kejadian sebentar tadi. Saat dia disekat dari memasuki balai perlepasan.

"Maaf cik. Beg cik ni tak boleh lepas naik ke atas kabin. cik kena masukkan dekat kargo. Tak lepas ni cik." Tegas kata-kata sekuriti seraya menghalakan jari telunjuknya ke arah kaunter kargo.

Beg galas jenis hiking selalu dibawanya naik ke atas kabin ketika naik flight. biasanya kapal terbang jenis Air Asia tidak pernah menjadikannya suatu masalah. 

"Tapi cik, kata kawan saya, boleh bawa naik beg seberat 10KG." Sarat harapan pada bicara sara. 

"Maaf cik. 7KG sahaja. siapa pula pandai pandai cakap 10KG ni?" balas pakcik sekuriti itu.
"Saya bertanya kepada sahabat saya yang sudah biasa naik kapal terbang MAS ni." Tutur sara terkilan.

"Cuba cik tengok syarat dia ni. Apa-apa pun cik, ini tetap syarat. Maaf, saya tak boleh lepaskan cik ni. barang cik kena melalui kargo juga. " Sekuriti menepuk-nepuk papan tanda bertanda 7KG ONLY. 

Kaku. Kelu. Mindanya beku. Jasadnya bungkam. Tidak tahu hendak berbuat apa-apa lagi. kebuntuan terus membelenggu setelah percubaan Sara menghantarkan ke kargo juga gagal.
"Encik, saya nak masukkan ke kargo. Barang saya tadi sudah dimasukkan." Sara mencuba nasib di kaunter. 

"Maaf cik. kuota luggage cik dah penuh. Tak muat ni cik." Ujar pengurus kaunter. 

"Erm, kalau bayaran berapa pula cik?" Sara masih berharap harganya masih boleh dikurangkan. 

"Serius cik? Mahal ni cik. sebab cik buat transit dua flight." Jawab pengurus itu lagi.

"Berapa?" Soal Sara lagi. Hatinya berzikir. berharap masih kurang dari RM200.

"Harganya mencecah RM500 ni cik." Bagai sebuah badai yang maha ganas yang merobek sangkar hatinya. Seakan jantung tercabut Sara bergolek-golek jatuh kebumi kerana terlalu terkejut. 

"Masya-Allah. Mahalnya. Tak boleh kurang ke encik?" Sara masih merayu. Wajahnya sedikit tertunduk. 

"Maaf cik. Tak boleh kurang ni cik. Sebab dua kali transit" Luluh hati Sara saat itu.
  
'Laa Hawla Wala Kuwwata illa billahil 'Aliyyul 'Adzim..' 

Di dalam hatinya bersambungan dengan zikrullah meminta pertolongan Allah. Diulang baca supaya tetap tenang. 

Mana mungkin dia bakal meninggalkan beg itu disitu. Semua barangan dikandung beg itu ada kelengkapan barang palapes. Mahal untuk dibeli semula. Mencecah harga beratus-ratus. Bukanlah murah.

Ruang menunggu masuk ke balai pelepasan lengang sementelah semua penumpang sudah pun masuk ke perut pesawat berikutan waktu berlepas sudah tinggal beberapa minit. Hanya Sara yang masih tersadai disitu. Dia ditahan untuk masuk. Ini pertamakali bagi seumur hidupnya, menaiki sebuah kapal terbang jenis Malaysian Airlines. 

'Ikhtiar lagi Sara. I'Allah. Moga Allah bukakan pintu rezeki buatmu. Allah takkan hampakan hambaNya yang berusaha dengan gigih kecuali Dia punyai perancanganNya yang lebih baik.' Bisikan itu berbicara halus menusuk qalbunya. Aksara itu lah yang seringkali diucapkan oleh para sahabatnya tatkala dia lemah. Putus asa adalah musuh utama. Dia memuhasabah diri. Cuba meyakinkan diri, bahawa setiap kesulitan pasti ada kesenangan. Sara menyeka titis mutiara yang gugur dari tubir matanya. Dalam walang, sukmanya berdesir tenang. Sara percaya dugaan ini tepu dengan makrifat walau situasi berduka lara. 
"Panggilan terakhir untuk pesawat ke Kuala Lumpur.." Corong mikrofon mengeluarkan bunyi. 

'Allah. bantulah hamba.. Hanya Engkau tempat hamba bergantung harap. Tiada upaya diri ini tanpa pertolongan dariMu.' Hati sara memohon doa. Sara membuat percubaan terakhir. kali ini, dia berlari menuju ke arah kaunter Customer Service. 

" Abang.. Bolehkah saya minta dikurangkan harganya. Saya tidak lepas bahagian kabin. Kargo pula harganya sangat mahal. Tidak cukup wang saya. bolehkan saya minta kurang..please.." Sara separuh merayu. Dia tiada pilihan lagi 

" Minta I/C dan boarding pass." Pinta pengurus itu. 

" Abang, saya first time naik MAS. Saya tak tahu. Flight saya dah nak berlepas." Ujar Sara, usai menyerahkan i/c dan boarding pass kepada pengurus itu. 

Hatinya tidak berhenti memohon supaya Allah lembutkan hati Abang itu.

"Mahal ni, sebab Adik ambil transit ni. Biasanya memang cuma 7KG je boleh lepas dik kalau kabin. Takpelah. adik cepat-cepat pergi gate. Saya uruskan kargo. Tapi jangan buat lagi ya." Pengurus itu memberi jawapan yang melegakan hati sara. Serasa hatinya, seolah mahu bersujud syukur di situ.

"Betul ke ni bang? Terima Kasih sangat bang." Sara terharu dengan rezeki Allah kurniakan padanya. Bukan mimpi. Ini mustahil dapat. Terlalu banyak kisah luahan manusia-manusia yang terlepas flight di Internet. Semuanya komen negatif tentang service. 

"Ya. Dah dah. Jangan menangis lagi. Pergi kejar flight. kan terlepas pulak." 

'Alhamdulillah 'Alal Kullihal'

 Sara meraba-raba Atmanya. Dalam hatinya tidak putus-putus ungkapan kata-kata syukur bergema. Terharu dengan kasih Sang Maha Pemberi Rezeki. Rasa syukur bertebaran memenuhi hati.

Sara berlari ke pintu gate yang hampir ditutup. Dia masuk ke perut pesawat dengan perasaan bercampur baur. Dia tenggelam dalam keharuan. Larut dalam gelora perasaan. Tangis itu mencetuskan gelombang keinsafan dalam sukma. Air mutiara jernih terus mengalir menggambarkan betapa terusiknya hati seorang hamba. Betapa baiknya Sang Maha Pengasih. Sara merasakan bahawa ujian dariNya itulah tarbiyah terbesar yang perolehinya hari ini. Betapa dia menghayati kejadian tadi untuk ditadabburi oleh hati. Maha Hebat Allah hanya dengan mengatakan, 'kun Fayakun'. Pabila Allah katakan 'Jadi, maka jadilah ia.'

Sungguh ujianNya itu adalah tarbiyah hidup. Malah, dengan ujian itulah kita mengenal erti kehidupan. Ketahuilah bahawa ujian itu tanda Allah swt menyayangi diri kita. Oleh itu, Dia menurunkan sedikit ujian agar kita tidak terus tersesat di dalam kegelapan dan alpa dengan kesenangan hidup. Ketika Dia menghulurkan cahaya kegemilangan-Nya dikala kesusahan, sambutlah ia dengan penuh mesra sambil mengucapkan kalimah Alhamdulillah. 

Cerpen: Dimana silapku?


Aisya termenung di tepi tasik.
Hatinya cukup resah.
Jiwanya dilanda gundah.
Fikrannya mencari arah.
Namun tidak pula meluah.
Apatalagi berkongsi masalah.
Dipendamnya sampai resah.
Akhirnya Aisya beristighfar.
Sambil menatap langit indah.
Terngiang-ngiang di telinganya akan peristiwa dua minggu lepas.
"Pakaian kau selekeh." Tegur satu suara.
Petang yang hening.
Aisya menerima Satu teguran.
Mei Ling menegurnya.
Aisya rasa malu.
Dia tahu imej dirinya tidak sehebat rakan sekelasnya yang lain.
Direnung bajunya. Jersi hitam, baju jaket main masuk. seluar track berkedut. Tudung. Old fesyen.
Aisya jarang pakai kain.
Dia susah mengubah keselesaan itu.
Dia mengerti kekurangan dirinya yang agak terbiasa mencapai baju tanpa memikirkan fesyen atau imej.
Dia selesa begitu.
Baginya, perempuan itu tidak perlu termenung terlalu lama, hanya sekadar memilih pakaian dan imej.
Asal tertutup semua aurat.
Ringkas caranya.
Tapi tidak pula dia merasakan dirinya begitu selekeh.
Mungkin mata orang, lebih nampak berbanding mata sendiri.
Maka, muhasabah adalah jalan terbaik dipilih oleh Aisya.
Akhirnya Aisya berkeputusan mengubah sedikit penampilannya.
Dia risaukan imej Islam yang dibawanya. Tudung labuhnya itu tanda ada amanah besar tergalas di bahunya.
Meskipun Aisya baru sahaja berubah. Masih bertatih.
Namun dia cukup risau akan hal melibatkan fitnah terhadap agama.
Sayangnya Aisya terhadap agamanya bukan sedikit. Bahkan seluruh hidupnya mahu dilakukannya untuk agamanya.
Terutama pabila yang menegurnya itu bukan muslim.
'Bagaimana produk agama mahu laris, jika diriku sendiri gagal pamerkan imej yang baik atas produk tersebut. Sudah tentu tiada yang akan berminat.' Hati Aisya bermonolog.
Aisya masih di perkarangan tasik indah. Lama dia termenung.
petang yang indah.
Namun hatinya masih gundah.
Aisya memerhatikan tasik di padang golf. Cantik. Labuan yang begitu menarik. Sesuai untuk perlancongan.
Pantai bersih. punya tasik.
Punya hutan.
Untuk agensi perlancongan, Labuan memang tempat sesuai.
kawasan yang masih asli.
keindahan Alam sekitar.
Sungguh. Bumi Allah begitu cantik.
Aisya cuba mentadabburinya.
Tasik indah terbentang dimata Aisya.
Aisya menundukkan wajahnya kedalam tasik.
Tasik memantulkan wajahnya.
Aisya memerhatikan pakaiannya.
Hari itu dia memakai tudung berwarna kuning agak terang sedikit.
Berbaju oren terang dan dipadankan dengan menyerlah oleh kain berbelang melingtang warna coklat dan kuning.
Baju yang jarang dipakai Aisya.
Berkurun lama.
baju itu tersimpan.
Entah mengapa. Bila dicuba pakai. Aisya kurang selesa.
Ramai memujinya cantik.
Aisya memakainya hari ini.
Untuk keluar ke bandar bersama kawan.
sepanjang perjalanan.
Aisya terserempak dengan ramai sahabat.
Ada yang menegurnya dengan salam. Ada pula Aisya yang memberi salam. berjalan kaki ke tempat parking hanya mengambil masa 20 minit. Namun takdir Allah dia berselisih temu denga ramai sahabat tatkala itu.
Budaya sebarkan salam masih istiqamah dilakukan pada zaman sekarang. hati aisya bersyukur.
" Assalamu'alaikum. amboi cantiknya. nak kemana tu?" Sapa Aimi, rakan sekelasnya.
" Biasa jela. nak keluar. beli barang sikit." Aisya bersapa ringkas lalu berpisah selepas berselisih.
Kemudian Aisya dipertemukan lagi beberapa sahabat dan ayat sama mereka tuturkan.
Setibanya diparking, Aisya ternampak kelibat seorang kakak senior yang dirinduinya. Mungkin tidak menyedari Aisya sedang lalu di sebelanya.
"Assalamu'alaikum. Akak!" Aisya menyapa. Teruja.
"Wa'alaikumussalam..la Aisya rupanya. Maaf akak tak perasan. cantik sangat pulak hari ini."
"Biasa aje lah akak. Tudung bukan belit-belit macam yuna pon."
Aisya sebenarnya resah.
Apakah yang tidak kena hari ini?
Tudung akel lebar 60 biasa.
Baju T-shirt muslimah biasa.
Kain pun biasa saja.
Hati aisya resah.
pujian-pujian milik Allah.
Bimbang timbul penyakit hati.
Allah.
Semakin laju istighfar dibibir Aisya.
Setibanya di bandar, Aisya bersama kawan menuju supermarket. Mencari-cari barang yang telah disenarai.
Melihat Dewi memasukkan barang pilihannya ke dalam bakul, Aisya teringat bakul.
Dia tercari-cari bakul yang di ambil Dewi tadi.
Ada seseorang lelaki memerhatikannya. Aisya cuba berlagak biasa. Namun pandangannya sedikit tertunduk.
Lelaki itu memberikan trolinya pada Aisya. Aisya mengangkat mukanya. Lelaki itu memberikan senyuman paling manis. Mata lelaki tersebut mengecil dan begitu mesra sekali.
Aisya tidak merespon. Cuma mengambil troli dan berlalu pergi. Istighfar bergema didalam hatinya.
Sedang memilih barang, Aisya berselisih lagi. Lelaki berkopiah pula merenungnya kali ini.
cepat-cepat Aisya meninggalkan tempat itu. Resah di hatinya bukan sedikit. Masih segar di ingatannya.
peristiwa 3 tahun lalu. Dia pernah dihimpit sampai ke diding oleh seorang lelaki di supermarket seperti ini. Kopiah, bukan bawa makna tidak bernafsu. Aisya serik.
Di mana-mana Aisya melarikan diri, masih ada lelaki asing yang cuba memberikan senyuman mesra padanya.
Aisya menjadi tidak keruan.
Di manakah silapnya hari ini?
Berapa banyak hati yang terlalai memandangnya hari ini?
siapa mampu menjawab persoalan hatinya? Aisya bungkam. bingung.
"Di mana silap ku?"

Wardatul Khaulah
31/5/2015

Cerpen: Hadis Ke Sepuluh


"Awak, tau tak coco cruch sapa kat atas meja tu?" Tanya Ain.
"Saya punya. Nak ke?" Aisya menjawab sambil menuju ke meja.
Aisya menggaru kepala tidak gatal.
"Aik. Tak ade pula. Maaf lah. dah habis. nanti beli lagi ya?" Aisya berkata memujuk.
"Eh. Takpe. Sebenarnya saya yang habiskan semalam." Ain sengih sampai ke telinga.
" Ooo. Dah telan baru tanya. Mesti tak hadam lagi hadis 10 ni kaaan?" Aisya memberi peringatan kepada sahabatnya.
" Hadis 10?" Ain ingin tahu.
" Yep. Hadis ke sepuluh. Hadis 40 Imam Nawawi. Meh Aisya bacakan ye.. "
******
Hadis 10: Baik dan Halal syarat penerimaan.
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata:
Rasulullah saw telah bersabada:
"Sesungguhnya Allah Ta'ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta'ala berfirman: (Wahai para Rasul! Makan Minumlah kamu makanan yang baik-baik yang kami rezekikan kepada kamu).
Kemudian, Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh. Yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa) : Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!
Bagaimana doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?
HR. Al Imam Muslim.
******
" Oo. Maksudnya hadis ni menerangkan amalan kita? Diterima atau tidak, sesuatu amalan atau doa, bergantung kepada pemakanannya. Halal atau Haram? macam tu?" Ain masih ingin tahu.
" Yep. pengajaran hadis ni menyatakan bahawa Islam menuntut umatnya menjaga diri dari semua aspek. Kebersihan diri, hati dan keelokan berpakaian.
kebersihan amalan perbuatan dan juga budi pekerti. Amalan, pakaian, tampat tinggal, kenderaan dan makanan seseorang berkait rapat dengan darjat kemuliaan dan maqam hatinya.
Sebab itulah, mukmin dituntut menjaga amalan, tingkah laku dan pakaian serta memakan hanya benda yang baik.
Makanan yang baik adalah makanan yang halal. Makanan dan perbuatan haram menghalang pembersihan jiwa seseorang. Lalu menghalang doa daripada dimakbulkan Allah.
Nampak kan? Besarnya titik berat tentang perkara ini." Panjang lebar huraian Aisya.
Ain melopong. Baru tahu.
"Sori Aisya. Saya menyesal. Janji, tak buat dah." Ain berkata perlahan.
"Ain.. Alhamdulillah kalau begitu. Bagus awak ni. baru baca hadis sepuluh dah insaf. semoga semakin kita menuntut ilmu, semakin banyak kita sedari dan semakin banyak pula rasa takut kita padaNya Yang Maha Esa. Belum lagi saya share dekat awak pasal hadis ke 6 dari hadis 40 Imam Nawawi. Pasti awak suka. " Aisya tersenyum dalam bicaranya.
"Hadis ke 6?" Ain mengerutkan dahi.
"Hadis ke 6, pasal halal dan haram. nanti lah sambung. Ambik pengajaran dari perkongsian tu dulu hari ini. i'Allah." Aisya senyum melihat Ain yang baru menaiki tangga henshin. (baru nak mula berubah). Semangat Ain tinggi.
semoga istiqamah. I'Allah.

Mimi Shalina, 
1 JUN 2015

Cerita Pendek : Hidayah Milik Allah.


" Eh kau tahu tak. si Anis tu nampak aje baik. Pakai labuh-labuh. Tapi, perangai teruk dari kita lagi. Tak paham aku. Belajar tinggi. Tak apply." Aina tiba-tiba meluah rasa tidak puas hatinya kepada Aisya.
"Bia la dia. kire okey masih jaga aurat dia. mana tahu ade sekelumit di hatinya nak berubah sikit sikit. Engkau pula sejak bila jadi Tuhan?" Balas Aisya.
" Eh, mase bila aku kata aku jadi Tuhan?" Aina mengerutkan kening.
" Dah tu. kerja menghukum orang tu kerja Tuhan. Dah nampak salah. Doakan. kalau mampu tegur. tak mampu diam. Takde la saje-saje kita nak tanggung dosa dia sekali kat akhirat. Kalau nampak aib orang, tutup. bukan hukum. " Aisya cuba mengingatkan.
Aina sedikit tertunduk.
Hatinya mengakui itu betul.
Tapi kadang kala terlupa.
Fungsi sahabat, mengingatkan.
Lalu Aina tersenyum.
"Alhamdulillah. Terima kasih Aisya, ingatkan."
*****
Today, you are guided.
Tomorrow, you can't be sure.
Guidance is from Allah.
Hidayah itu milik Allah.
(Mimi Shalina, 2015)

Sketsa : Aku bakal dilamar.

"Aisya. saya rasa macam tak sabar nak kahwin. Teringin pulak bila tengok kawan-kawan. Kahwin masa belajar." Aini bersuara perlahan.
Aisya diam. Berfikir.
Hati Aini teruji benar tatkala ini.
Masalah hati itu tanda iman turun.
Hilang roh perjuangan.
Cenderung dicintai dan mencintai.
"Betul awak nak kahwin, Aini? Kebetulan pula ada yang tengah usyar awak sekarang. Dari tadi lagi nak bagitahu sebenarnya." kata Aisya tiba-tiba.
" Eh. Ye ka? Wah rasa macam artis pulak. Tak sangka saya ada orang suka." Hati Aini berbunga mekar bak bunga mawar tatkala itu.
" Yep. Dia memang sedang cari masa nak lamar awak dalam beberapa hari ni, mungkin. Atau sekarang pun boleh. bila-bila je dia nak decide. kalau awak free la." Mata Aisya melirik.
" Wah.. Aisya. Cakap lah. saya masih single lagi. Takde terikat dengan sesiapa lagi ni. Memang cari calon. Tapi sape aisya?" Makin berbunga hati Aini. Teruja.
" Malaikat Maut namanya." Aisya berkata selamba.
" Glurpp.. Astaghfirullah.. Malunya saya pada Allah. " Bagai luruh jantung Aini saat mendengar nama tersebut.
Aini meluru ke bilik mandi.
"Eh, Aini, awak nak pegi mana?" Aisya pelik melihat Aini laju ke bilik mandi.
"Nak pergi ambil wudhu'. Tiba-tiba teringat. Belum solat sunat taubat lepas Isyak tadi." Aini membalas.
"Alhamdulillah.." Aisya tersenyum mendengar respon Aini. Agenda tarbiah sentap yang di ilhamkan Ilahi padanya telah berhasil meresap hati-hati yang sedang lesu dan hampir mati kerana dunia yang melekakan.
Kurangkan bicara soal hati.
Banyakkan persiapan sebelum mati.
Kerana mati itu jodoh pasti.
**
Mengingati mati adalah ubat
bagi segala permasalahan dunia.
Bila rasa buntu dengan segala permasalahan di dunia,
Cuba lah ingat mati.
Dengar kuliah soal sakaratul.
Baca Artikel tentang kematian.
Cukuplah mati itu sebaik-baik peringatan buat kita.
Kita akan rasa masalah kita
bukan lah apa-apa.
Melainkan hanya mainan kehidupan semata-mata. Ujian Allah turunkan.
Untuk uji keimanan kita.
Moga Allah leraikan hati kita.
Dari terikat kuat dgn keduniaan.
I'Allah.

Saturday, July 4, 2015

Cerpen : Pentingnya faham.

 
"Nanti ada tetamu nak tumpang singgah rumah kita. Tak sampai sehari pun. sebab dia musafir nak balik kampung dia pulak. Sampai awal pagi sahur. Tiket bas dia pukul 12.00 tengahari pula lepas tu." Mama Aisya sekadar memaklumkan. 

"Siapa?" Soal Aisya, mengerutkan kening. 

"Dah biasa datang. kawan kakak kamu lah. Alah yang girlfriend dia pakai purdah tu." Mama Aisya cuba menerangkan. 

"Oh." Aisya sekadar menganggukkan kepala. 

" Pelik mama. Pakai purdah. berpakwe. Macam ada tak kena pulak." Mama Aisya tidak puas hati. 

Aisya cuma diam. Dulunya Aisya tidak dibenarkan memakai purdah kerana insan ini. Dia telah meragut kepercayaan kedua orang tua Aisya terhadap si pemakai purdah. 

Sesekali Aisya punyai rasa kesal. Namun Aisya berdoa supaya suatu hari nanti mungkin dia akan berjaya fahamkan kedua orang tuanya. bagi Aisya, di sinilah praktikal dakwah bermula. Tentang syahadatul Haq. Aisya tidak mahu membiarkan walau secebis cas-cas negatif muncul dalam medan praktikal dakwahnya pada cuti kali ini. 

"Dia tu baru jugak berubah. Dulu jenis seksi. Sekarang berubah jadi macam tu." Abang Aisya membuka bicaranya. 

Aisya semakin faham. Dan persoalan mamanya juga ada jawapan dari situ. 
Tapi Aisya tidak bercadang untuk masuk ke dalam perbualan tersebut. 
Niat hatinya hanya sekadar mahu jadi pendengar disitu. 

"Drastik sangatlah. Biasanya perubahan drastik ni tak tahan lama. banyak sangat kejadian macam ni berlaku. Dari seksi terus berpurdah. Lama-lama nanti bosan dengan purdah tu. Lepas tu tanggal."Aisya tersenyum. Dia cuba menadah telinga mendengar bebelan mamanya. 

Masa dibiarkan berjeda. 

"Pakai purdah, boleh berpakwe? Nak kata tunang pun bukan. hmm.. Aisya. boleh ke macam tu?" Mama Aisya masih memikirkannya. 

'Erk. Adeh. Disoal pula dah.' Getus hati Aisya.

Digaru kepalanya yang tidak gatal. 
Bukan dia tidak mahu memberi komen.
Tapi, niat asal Aisya tadi hanya sekadar mendengar sahaja. 

" Hmm.. Berubah tu, tak kisah drastik atau tidak. Yang penting kena ada ilmu. Nak buat apa pun kena ada ilmu. kalau perubahan seseorang itu berdasarkan ilmu, dan kefahaman. I' Allah, dia akan istiqamah dengan izin Allah. Tapi, kalau berubah tanpa ilmu atau tanpa bimbingan orang berilmu, itu lah yang bahaya. Tak salah pun dari tudung biasa terus tukar labuh.." Akhirnya Aisya bersuara, sekadar komen yang ditunggu. Dia sendiri pernah mengalami. 

" Tapi, masalahnya sekarang, dia terus pakai purdah. Couple pun masih." Mama Aisya masih tidak bersetuju. 

"Sebab apa dia begitu? sebab dia belum faham, bukan?  Orang yang tahu Islam ini berbeza dengan orang yang kenal Islam. Berbeza pula dengan orang yang faham Islam. Apa beza tiga ni? Tahu, kenal dan faham?" Aisya sengaja menyoal.

"Contoh?" Abangnya menyoal kembali.

Aisya tersenyum.

"Ok. sebelum bagi contoh, kena faham dulu maksud ketiga-tiga ni. Kenal lebih tinggi daripada tahu, dan faham adalah lebih tinggi daripada kenal. Peringkat yang paling tinggi ialah faham, kemudian kenal dan kemudian barulah tahu. contoh.." Aisyah berehenti bicara seketika. Memikirkan contoh.

"Ok. Contohnya. Cuba mama dan abang bayangkan ya. Davick lah katakan. Pelancong Asing. Mari ke Malaysia. Orang cerita kat dia pasal sambal tumis ikan bilis. Sebelum ini dia tidak pernah dengar pun masakan bernama ‘sambal tumis ikan bilis’. Bila orang cakap kat dia, itulah kali pertama dia TAHU adanya masakan yang disebut ‘sambal tumis ikan bilis’. Fasa tahu ni, Davick cuma tahu cerita pasal sambal, tetapi tidak pernah melihat dan belum pernah merasa pun sambal tu macam mana." Aisya menarik nafas.

"Lepas tu, katalah hari lain pulak, Davick ni ada orang ajak pergi lunch masakan orang Melayu. Dalam hidangan itu ada sambal tumis ikan bilis. Orang tempatan tunjuk kat dia, “This is sambal tumis ikan bilis”. So, itulah kali pertama si pelancong melihat sambal tumis ikan bilis. Dilihatnya sebagai sejenis masakan lauk berkuah, berwarna merah dan ada ikan-ikan kecil di dalamnya. So, sekarang dia kenal dah lah rupa sambal tu. Fasa kenal ni. Davick tahu cerita dan sudah melihat tetapi belum merasa." Sambung Aisya lagi.

"Lepas tu, Davick pun jamah hidangan bersama sambal tumis ikan bilis. Barulah dirasanya pedas, manis, masin, lemak, masam dan lain-lain adunan rasa sambal tumis petai itu. Itulah sambal tumis sebenar. Jadi, akhirnya Davick pun fahamlah. Sebut sambal je, dia tahu pedas tapi sedap dan Dia suka. Dia boleh cerita kat keluarga dia. kat orang lain. Sebab dia dah tahu, dia dah kenal dan dah faham pasal sambal tu." Panjang lebar pula Aisya berkata kali ini. Yang tadinya hanya konon-konon mahu mendengar. 

"Oh. Macam tu ke. kalau dia orang yang faham, dia takkan buat begitu, kan? " Abang Aisya mengangguk faham. 

"Yup. Orang baru nak berubah, perlu dibimbing. Dia baru tahu dan nak kenal Islam. Macam davick tadi ada orang ajak kan?" Aisya sampaikan sedikit demi sedikit tentang ilmu dakwah kepada keluarganya. 

"Hmm.. bimbingan sapa lah nak bagi kat tengah KL tu." Mama memuncungkan bibirnya.

Memang diakui Kuala Lumpur adalah pusat tempat sosial.
Aisyah punyai pengalaman bekerja di kawasan itu.
Pergaulan bebas dimana-mana. Tidak mengira tempat.

Pakaian menjolok mata. Couple berleluasa.
Berpegangan tangan tanpa ikatan.

Jenayah juga tidak terkecuali.
bahaya di mana-mana.

Namun begitu, Aisya tahu, pasti ada.
Dia pernah bertemu insan-insan masih berjaga-jaga.
Meskipun dalam kuatiti sedikit, tapi mereka lah yang faham agama.

Islam kelihatan asing di bandar metropolitan itu.
Namun, jika ada hati seseorang ingin berubah, Allah pasti akan bantu.
Maka, akan dihantarkan olehNYA, golongan-golongan sedikit yang faham ini.
Allah berkuasa mentakdirkan pertemuan.

Sungguh. Allah itu Maha Berkuasa.
Keatas sesiapa pun untuk mendapatkan hidayahNYA.  

Masa jeda panjang. Aisya cuba matikannnya dengan jawapan.
"Untuk seseorang itu dapat faham tentang sesuatu itu, maka dia perlu ada ilmu. Jika dia belum berilmu, namun ada keinginan untuk berubah. Maka, siapa kena sampaikan ea?" Aisya menduga. 

"So, maknanya, memang orang yang faham ilmu lah yang kena sampaikan, kan Aisya?" Abang Aisya menyampuk. 

"Yep." Aisya tersenyum. 

"So, mama, kita yang faham ni lah yang kena sampaikan. Beri nasihat. beri bimbingan. bukan kutuk. bukan persepsi. Sebab dia belum ada ilmu." Abang Aisya membuat kesimpulan tanda faham.

kata-kata abangnya buat Aisya tersenyum panjang.
Cepat abangnya faham tentang dakwah. 

"Baru nak berubah, sampai terus ambik purdah? Rasanya start labuhkan tudung adalah lebih baik." Kata-kata mama Aisya masih bersisa. 
  
"Mama, fitrah manusia sukakan sesuatu yang cantik. Mungkin, sebab dia berpurdah kerana dia merasakan berpurdah itu cantik. Sebab Aisya dulu start pakai labuh-labuh sebab suka tengok mereka yang begitu. Ayu dan cantik. Kemas serta sopan. Tapi bila dah faham baru tahu kenapa perlu pakai labuh. Mungkin macam itu lah juga dia." Aisya berbicara senada.

kefahaman yang dinikmati saat ini adalah rezeki dari Allah. Ada tanggungjawab pula diamanahkan untuk disampaikan kepada yang masih belum mengerti. 

" Kalau seseorang itu faham tujuan berpurdah, dia takkan upload gambar di facebook bukan? Kerana dia faham tujuan dia berpurdah. Untuk elak dari maksiat. Untuk elak pandangan ajnabi. Untuk menjaga diri. bukan tatapan umum wajahnya. Tapi sekarang, ramai yang tidak faham. Maka, sebab itulah ramai yang mengupload. Ada juga yang sudah tahu dan kenal. Tetapi masih belum juga faham. Ada juga dah faham. Tapi payah nak istiqamah pulak. Jadilah seperti dunia yang kita lihat sekarang. Buka sahaja laman sosial, di mana-mana wanita berpurdah mempamerkan wajahnya. Tanda mereka belum benar-benar faham erti sebenar memakai purdah. Dan ada juga yang di uji untuk istiqamah." Aisya gugup. Orang yang bercakap itulah paling cepat Allah uji. Sebab itu dia nak diam tadi.

'Istiqamah bukan mudah. Fuuh..Naudzubillahimin zalikh!' Aisya memohon perlindungan Allah di dalam hatinya.

"Nak berubah itu mudah. Tapi istiqamah itu yang sukar sekali. Istiqamah lebih besar dari karamah." Abah Aisya yang lalu disitu menyambung perbualan mereka. 

"Karamah?" Aisya mengulangi. 

kerutan di dahinya jelas mempamerkan wajahnya.
Tanda kurang faham dengan maksud ayat yang dituturkan oleh abahnya. 

"Karamah. Yang dikurniakan oleh para sufi. Boleh berjalan atas air, boleh belah laut, dan sebagainya. Hebat karahmah tu. Orang tertentu saja boleh dapat. Tapi, Istiqamah lagi besar dari tu. nak menandakan betapa susahnya dan betapa beratnya istiqomah. Hanya sedikit yang dapat laksanakannya." Panjang lebar keterangan Abah. 

Aisya mengangguk faham. 

"Istiqamah walaupun amal sedikit. Tetapi berterusan. Adalah lebih baik dari amalan yang banyak, tapi tidak berterusan. Contohnya, harini aku nak solat sunat 30 rakaat. tapi esoknya stop. On off. Amal ni yang penting kualitinya. bukan kuantiti. Istiqamah, biarlah sedikit." Abahnya menyambung lagi huraiannya sehingga Aisya menjadi semakin faham. 

*** 

Semoga kita terus Istiqamah dalam Islam. 
Dalam dakwah dan tarbiyah. 
Dalam melaksanakan amanah amar ma'ruf dan nahi mungkar. 

I'Allah. 

Today, we are guidance. 
Tomorrow, we cant be sure. 

Guidance is from Allah. 
Hidayah itu milik Allah.

Mimi Shalina
Pena wardatul khaulah.

(sumber: Buku Memperbaharui Komitmen Dakwah by Muhammad Abduh)

"Meskipun kitalah yang benar, namun janganlah membesar-mebesarkan kelemahan dan kesalahan orang lain."